16 NOV : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak menjamin bekalan beras putih tempatan (BPT) akan pulih sepenuhnya memandangkan situasi ini pernah berlaku pada tahun 1971, 1996, 2014 dan kini.
Namun, menterinya, Datuk Seri Mohammad Sabu yakin kerajaan akan sentiasa berusaha bagi memastikan isu ini dapat diatasi sebaiknya.
Katanya, krisis beras terburuk di Malaysia pernah berlaku pada 2014 yang berpunca daripada keadaan cuaca serta harga pasaran global.
“Saya tak boleh beri jaminan bekalan beras berterusan kerana krisis ini pertama kali berlaku pada 1971, kemudian pada 1996 dan 2008…sebab itulah berlakunya penetapan harga RM18 untuk sekilogram.
“Sebenarnya krisis beras paling hebat berlaku pada 2014 namun pada waktu itu belum wujudnya TikTok jadi rakyat tidak terlalu cemas.
“Sekarang ini jika ada pihak yang mengatakan tiada beras bulan hadapan di TikTok, ia menyebabkan orang menjadi panik dan membeli beras putih tempatan dengan banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) yang bertanya tentang langkah kerajaan mengatasi masalah kekurangan beras tempatan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohammad berkata kenaikan harga beras import yang mendadak menjadi punca pengguna beralih menggunakan beras tempatan.
Jelas beliau, ia kerana perbezaan harga beras putih tempatan dan import sebelum ini tidak terlalu ketara.
Bagaimanapun katanya, ianya adalah hak pengguna sama ada mahu menggunakan beras putih tempatan atau import dan kerajaan sentiasa komited mencari jalan bagi menjamin kecukupan beras di negara ini.
“Apa yang kita lakukan ini bagi memastikan krisis ini tidak berulang pada masa depan, namun jika berulang sekalipun ia tidaklah parah seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Sebelum ini orang tidak beli beras tempatn kerana harganya murah. Namun apabila beras import naik secara mendadak, sebab itulah pengguna mula mencari beras tempatan.
“Namun itu adalah hak pengguna, kerajaan akan cuba mencari jalan untuk memberi pembekalan yang secukupnya,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL