16 NOV : Seorang bekas anggota polis yang disabitkan membunuh penyanyi terkenal Along Spoon dibebaskan hari ini dari Penjara Kajang selepas hukumannya dipinda dan terlepas hukuman penjara sepanjang hayat.
Mahkamah Persekutuan hari ini meminda hukuman itu kepada penjara 33 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkapan tertuduh, Mohamed Ya’cob Demyati, 57 pada 4 Januari 2000.
Peguamnya, Che Muji Che Noh berkata anak guamnya itu selesai menjalani hukuman 33 tahun bermula tarikh tangkapan itu.
“Insya-ALLAH dia bebas hari ini, hukuman penjara itu termasuk satu pertiga daripada cuti dan lain-lain bermakna dia dah menjalani hukuman penjara 33 tahun,” katanya.
Mohamed Ya’cob yang berasal daripada Johor ini dijangka dibebaskan jam 5 petang ini.
Terdahulu panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat secara sebulat suara meminda hukuman tersebut pada hari kedua persidangan susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023.
Mohamed Ya’acob antara 12 individu yang terlepas daripada hukuman mati atau penjara sepanjang hayat selepas dipinda kepada penjara 30 tahun dan ke atas serta sebatan.
Namun, Mohamed Yaa’cob yang sebelum ini dijatuhkan hukuman mati kemudiannya diringankan kepada penjara sepanjang hayat itu terlepas hukuman sebatan atas faktor usia.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Ya’acob yang merupakan anggota cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ketika itu didakwa membunuh Along atau nama sebenarnya Sabi’ul Malik, 19 di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada jam 1 pagi, 26 Disember 1999.
Along Spoon dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999 sebelum polis menemui rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.