17 NOV : Malaysia dan Vietnam menyatakan persetujuan untuk meningkatkan kerjasama bagi menangani aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dan Presiden Vietnam, Vo Van Thuong turut membincangkan isu Laut China Selatan serta bersetuju mematuhi sepenuhnya Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan.
“Malaysia mendapatkan kerjasama dan komitmen yang berterusan dari Vietnam dalam usaha memerangi aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia.
“Kami juga bersetuju mematuhi Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan selain menggesa diwujudkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan,” kata beliau menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata mereka turut membincangkan kaedah untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama antara Malaysia dan Vietnam.
Hanoi merupakan rakan dagangan ke-12 terbesar Malaysia di peringkat dunia serta yang keempat negara dalam blok ASEAN selepas Singapura, Indonesia dan Thailand.
Dalam pada itu, perdana menteri berkata Hanoi mengucapkan terima kasih kepada negara kerana melatih para pegawainya di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia selain meminta Malaysia memudahkan kemasukan produk halal dari negara itu dan menjalin kerjasama dalam pensijilan halal.
“Vietnam menyarankan agar diadakan kerjasama bandar berkembar antara negara itu dengan Malaysia,” katanya.
Anwar dan Van Thuong mengesahkan kesatuan dalam ASEAN dan mengulangi sokongan terhadap Laos sebagai Pengerusi ASEAN pada 2024.