17 NOV : Majlis Keselamatan Negara (MKN) memantau sebarang bentuk ancaman keganasan di pelbagai platform termasuk media sosial.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata ini termasuk sebarang ancaman susulan kelantangan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Palestin.
“…kita sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan itu.
“MKN juga telah mengeluarkan arahan baharu mengenai prosedur operasi standard berkaitan keganasan baru-baru ini dan ia akan menjadi garis panduan untuk pihak berkuasa menangani ancaman keganasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (Ex Comsec) 2023 di Melaka, hari ini.
Menurut Raja Nushirwan, dalam soal keselamatan negara, kerajaan tidak pernah mengambil mudah termasuk ancaman palsu.
Sehubungan itu, beliau berkata MKN sentiasa memperkemas prosedur operasi standard (SOP) serta tahap kesiapsiagaan semua pasukan keselamatan di negara ini.
Malah katanya, MKN turut waspada dengan insiden tembakan di pusat beli-belah di Thailand pada Oktober lepas.
“Isu keganasan ini kita kena lihat secara menyeluruh termasuk kemungkinan aktiviti ‘lone wolf’ iaitu pembabitan seorang individu dalam gerakan keganasan,” katanya.
Bulan lalu, sebuah pusat beli-belah dan hotel di Johor menerima ancaman bom menerusi panggilan telefon namun disahkan palsu oleh pihak polis.
Ancaman itu disyaki dibuat seorang lelaki warga asing.