PM tidak pernah label Hamas organisasi pengganas : Fahmi
17 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah melabel Hamas sebagai organisasi pengganas.
Sebaliknya Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menegaskan pemimpin negara itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan yang berlaku di Gaza ketika ini.
Fahmi berkata demikian bagi menyangkal kenyataan Concerned Lawyers for Justice (CLJ) yang mendakwa Anwar menyindir Hamas sebagai sebuah organisasi pengganas.
“Mana ada kenyataan baru-baru ini dia cakap walaupun di Parlimen.
“Ini (dakwaan CLJ) satu sindiran, beliau tidak pernah menyindir sedemikian. Kita mengutuk semua tindakan keganasan,” kata Fahmi yang merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan.
Khamis lalu, CLJ dalam satu kenyataan melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan perdana menteri yang baru-baru ini menyindir Hamas sebagai pertubuhan pengganas.
Selain itu, CLJ juga menggesa Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menimbangkan semula pendiriannya berhubung negara Palestin yang didakwa berciri-cirikan ‘keganasan, kemarahan dan kebencian’.
“Kami kecewa dengan kenyataan perdana menteri itu. CLJ mengakui kerumitan isu-isu geopolitik namun penting bagi para pemimpin berhati-hati bagi mengelakkan pengekalan stereotaip dan maklumat yang salah.
“Kami juga menyeru perdana menteri menimbangkan akibat kenyataannya dengan teliti dan mendekati perkara itu dengan satu perspektif yang seimbang dan bermaklumat. Pemimpin-pemimpin juga perlu menyumbang kepada wacana antarabangsa dalam satu cara yang menggalakkan dialog, persefahaman dan memburu keamanan,” menurut CLJ dalam kenyataan pada Khamis.
Fahmi bersama delegasi Malaysia kini berada di San Francisco untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30 yang berakhir hari ini.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim