18 NOV : Beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan dijangka dilanda banjir mulai awal pagi esok.
Ini termasuk daerah Besut dan Setiu di Terengganu juga di Tanah Merah dan Pasir Mas di Kelantan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di negeri tersebut.
Menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jangkaan itu hasil simulasi model ramalan banjir sekiranya hujan yang signifikan tetus berlaku.
“JPS meramalkan banjir boleh berlaku di dua daerah di Terengganu termasuk Besut iaitu di kawasan-kawasan sekitar Kampung (Kg) La, Kg Seberang La dan Kg Pengkalan Nangka, selain Setiu (kawasan sekitar Kg Che Mohid).
“Di Kelantan pula, kejadian banjir diramal boleh berlaku di beberapa kawasan di Tanah Merah dan Pasir Mas.
“Di Tanah Merah, kawasan yang diramal dilanda banjir termasuk kawasan-kawasan sekitar Kg Kajang, Kg Nibong dan Kg Air Bujing.
“Di Pasir Mas pula, kawasan sekitar Kg Kubang Rambutan; Kg Bagus; Kg Degung; Kg Limau Purut; Kg Pengkalan Telok; Kg Rasal; Kg Tersang; Kg Lubok Gong; Pekan Rantau Panjang; Kg Gelang Mas dan Kg Kalor,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, PRABN berkata kejadian banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.
“Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut,” katanya.