18 NOV : Keputusan empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan bukan seperti yang pernah berlaku dalam peristiwa Langkah Sheraton pada 2020.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan keempat-empat mereka dibuat atas kerelaan sendiri atas sebab sudah kehilangan kepercayaan kepada kepimpinan parti itu.
“Dalam Langkah Sheraton mereka secara terbuka mengakui mana-mana pihak yang bertukar sokongan akan diberi ganjaran (jawatan dan habuan lain).
“Bagaimanapun, dalam kes empat Ahli Parlimen PN itu, ia berlaku selepas mereka melihat sendiri apa yang berlaku di kem pembangkang,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sesi Bertemu Perdana Menteri yang dianjurkan di luar Sidang Kemuncak APEC 2023, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan empat Ahli Parlimen daripada BERSATU iaitu Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.
Langkah Sheraton berlaku apabila BERSATU bertindak untuk keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) selain 11 ahli Parlimen dari PKR mengumumkan keluar parti dan membentuk blok bebas pada 2020.
Peristiwa tersebut menamatkan pemerintahan PH selepas gabungan itu mencipta sejarah dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Dalam pada itu, Anwar berkata Ahli Parlimen Pembangkang menyedari tindakan pemimpin mereka yang berulang kali memberitahu penyokong bahawa mereka mempunyai angka untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan serta mengelirukan semua orang sejak sekian lama itu hanyalah omong kosong.
“Ahli Parlimen pembangkang sering mendengar pemimpin parti mengatakan mereka mempunyai jumlah kerusi untuk menjatuhkan kita bahawa mereka mempunyai sokongan Sarawak, UMNO dan juga pihak Istana.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim