20 NOV : Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus akan memberi keterangan esok di Bukit Aman berhubung video bualan lucah.
Turut akan dipanggil bagi tujuan sama oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) adalah Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain, berkata Abdul Wahab dijangka memberi keterangan secara berasingan.
“Abdul Wahab akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Kita juga akan memanggil beberapa individu lain dalam proses membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.
Abdul Wahab merupakan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Hulu Langat, sebelum ini mengaku merakamkan video berkenaan tetapi mendakwa kandungannya sudah disunting.
Razarudin dalam masa yang sama turut berkata, siasatan kini sedang dijalankan bagi mengenalpasti individu yang dikatakan sebagai ‘Mr H’ yang sebelum ini dilaporkan sebagai bertanggungjawab mengubahsuai video berkenaan.
Setakat ini masih belum dapat dipastikan waktu dan lokasi proses rakaman percakapan Mohammad Agus dijalankan esok.