19 NOV : Orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihat supaya berwaspada dengan persekitaran bagi mengelakkan penularan kes demam denggi.
Ini kerana, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan trend peningkatan kes jangkitan penyakit itu di enam negeri setakat ini.
Beliau berkata Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh yang melanda ketika ini dilihat turut meningkatkan trend demam denggi di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak, namun menurutnya keadaan adalah terkawal.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program MADANI Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah (SMK) Bukit Gambir, di Georgetown, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-44 (ME44) bagi tempoh 29 Okt hingga 4 Nov lalu meningkat 96.9 peratus kepada 100,936 kes berbanding 51,262 kes bagi tempoh sama pada 2022.
Sementara itu Zaliha berkata pihaknya turut merasa kebimbangan dengan peningkatan kes-kes hipertensi atau darah tinggi dan diabetes dalam negara, yang sering kali menyaksikan kegagalan orang ramai untuk membuat saringan awal.
Beliau berkata saringan awal penting kerana kedua-duanya adalah penyakit kronik yang boleh membawa kepada komplikasi kerosakan organ penting tubuh seperti buah pinggang, mata dan jantung sekiranya tidak mendapat rawatan awal.
“Akhir-akhir ini khususnya selepas pandemik, trend penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi, diabetes dilihat meningkat, dan sebab itu kita mahu rakyat berani tampil melakukan saringan kesihatan.
“Tambah membimbangkan KKM adalah 50 peratus dari penghidap hipertensi dan diabetes tidak sedar mereka ada penyakit itu kerana tidak melakukan saringan di peringkat awal,” katanya.
Merujuk kepada program MADANI Afiat yang bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan, Zaliha berkata sehingga kini 2,701 penduduk berusia 18 tahun ke atas telah disaring ketika program Madani Afiat dan ANMS di Selangor, Kedah, Terengganu, Johor, Perak, dan Melaka.
Menurutnya hasil saringan yang dilakukan oleh pasukan pelatih semasa lawatan dari rumah ke rumah menerusi program itu, 978 individu dikesan menghidap hipertensi manakala 681 lagi menghidap diabetes.
Sementara itu Zaliha memberi jaminan bahawa Rang Undang-undang Kawalan Produk Rokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dibentang sebelum sesi Parlimen berakhir hujung bulan ini.
RUU itu sepatutnya dibentangkan bagi bacaan kedua pada 10 Okt lepas tetapi ditarik balik oleh KKM, dan sehingga kini tiada tarikh khusus ditetapkan untuk pembentangannya.