20 NOV : Seramai 109 orang rakyat Malaysia terkandas di bandar Laukkaing, utara Myanmar ketika wilayah itu sedang bergolak.
Kementerian Luar Negeri mengesahkan kebanyakan rakyat Malaysia yang terbabit adalah mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
“Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming sedang menyelaras usaha menyelamat bersama Kementerian Luar Negeri Myanmar dan Kementerian Luar Negeri China sebelum memuktamadkan urusan membawa pulang kesemua mereka dengan selamat,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Menurut Kementerian Luar, usaha itu mendapat kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Kementerian Luar Negeri terus meningkatkan usaha bagi menangani masalah warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara,” katanya.
Baru-baru ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mengenai pertempuran sengit di antara junta tentera dan pakatan kumpulan etnik minoriti di utara Myanmar.
Rakyat Malaysia di Myanmar yang memerlukan bantuan dan pertanyaan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di alamat No 82, Pyidaungsu Yeiktha Road Dagon Township, 11191 Yangon atau talian telefon 00951220230 / 220248 / 220249/ 00959772 220 230 (selepas waktu pejabat) atau e-mel mwyangon@kln.gov.my.
Dalam kenyataan itu juga, rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mendapatkan pekerjaan di luar negara diingatkan supaya berhati-hati dan mengesahkan bidang atau bentuk kerja yang ditawarkan.