20 NOV : Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berfungsi sebagai akaun simpanan untuk saat kecemasan dijangka dilaksanakan bermula April 2024.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pengumuman dividen KWSP akan dilakukan pada Februari depan sebelum perincian mengenai akaun tersebut diumumkan.
Sehubungan itu, Ahmad berkata kerajaan
mengalu-alukan organisasi berkaitan untuk menyuarakan pandangan mereka yang boleh disampaikan terus sama ada kepada Kementerian Kewangan atau KWSP.
“Sebanyak RM145 bilion simpanan ahli KWSP dikeluarkan melalui empat kali pengeluaran semasa Covid-19. Selepas itu, rakyat terus menyatakan mereka perlu mengeluarkan lagi tetapi kerajaan buat keputusan untuk tidak membenarkan walaupun ada pun desakan daripada pelbagai pihak.
“Sebab itu kita buat formula baharu iaitu akaun ketiga. Kita akan melaksanakan tetapi ada kaedah tertentu yang tidak akan menjejaskan pendapatan,” katanya selepas merasmikan Seminar dan Mesyuarat Lembaga Persatuan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) ke-40, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata kerajaan perlu membina sistem perlindungan sosial yang mantap untuk masyarakat yang lebih berdaya tahan selepas berlaku pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.
Jelasnya, masih banyak perkara yang perlu dilakukan negara-negara ASEAN dalam menyediakan perlindungan sosial berkesan untuk rakyatnya.
“Di bawah Laporan Perlindungan Sosial Dunia ILO (Pertubuhan Buruh Sedunia) 2020-2022, liputan berkesan populasi oleh manfaat perlindungan sosial di rantau Asia Tenggara berada pada paras 33 peratus, di bawah purata dunia pada 47 peratus.
“Sementara perbelanjaan perlindungan sosial, tidak termasuk penjagaan kesihatan berada pada 2.3 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), di bawah purata Asia Pasifik sebanyak 7.5 peratus daripada KDNK,” katanya.