20 NOV : Terengganu mula dilanda banjir gelombang pertama selepas beberapa kawasan di negeri itu dinaiki air susulan hujan berterusan sejak semalam.
Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Tok Jembal dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas, setakat ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata kerja-kerja pemindahan penduduk di Taman Permai Murni masih sedang dilakukan dan jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas masih belum dapat dipastikan.
“Saya berharap mangsa di kawasan banjir akan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS yang disediakan.
“Difahamkan, hujan lebat masih berlaku di beberapa kawasan yang berisiko menyebabkan lebih banyak tempat dilanda banjir hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu bermula semalam sehingga hari ini.
Dalam kenyataan MetMalaysia semalam, ia memaklumkan amaran tersebut membabitkan beberapa kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Sementara itu di Perak, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A di daerah Kinta yang menempatkan lapan mangsa banjir sebelum ini ditutup sepenuhnya jam 9.30 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan hanya dua PPS di daerah Kerian yang menempatkan 75 orang daripada 22 keluarga masih dibuka setakat pagi ini.
“PPS SK Changkat Lobak yang menempatkan 18 orang daripada tiga keluarga serta PPS SK Alor Pongsu dengan 57 orang daripada 19 keluarga,” katanya.
MetMalaysia meramalkan beberapa daerah iaitu Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk, Muallim, Batang Padang serta Kinta dijangka berlaku hujan pada sebelah petang dan malam.