20 NOV : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai agar tidak menjawab sebarang panggilan telefon daripada Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC).
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, PDRM, ASP Rahmat Fitri Abdullah berkata ia merupakan kaedah terbaharu scammer untuk memerangkap mangsa ke dalam jenayah penipuan.
Jelas beliau, NSRC merupakan badan yang menerima panggilan daripada pengadu yang dikhuatiri terjerumus dalam jenayah penipuan.
Justeru, katanya NSRC tidak akan membuat panggilan telefon kepada sesiapa.
“PDRM, SKMM, Bank Negara dan ahli jawatankuasa terlibat mewujudkan kemudahan kepada seluruh masyarakat di luar sana bagi mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa penipuan untuk menghubungi NSRC.
“Sekarang ini scammer menggunakan nama NSRC ini untuk tipu mangsa. Jadi jika anda menerima sebarang panggilan telefon daripada NSRC dan kata dia mewakili NSRC, itu adalah scam,” katanya dalam satu perkongsian di platform TikTok pada Ahad.
Rahmat berkata, NSRC merupakan inisiatif bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam pada itu, Rahmat menegaskan
nombor talian aduan kepada NSRC hanya mempunyai tiga digit sahaja iaitu 997.
“NSRC hanya berfungsi untuk anda menghubungi mereka dan bukan mereka menghubungi anda. Petanda yang paling mudah untuk anda tahu itu adalah scam, sangat mudah kerana NSRC ini, nombor taliannya hanya tiga digit sahaja, iaitu 997.
“Dan jika yang hubungi anda itu berkata mereka mewakil NSRC keluar nombor lain, selain daripada tiga digit tersebut, itu adalah panggilan dari scammer,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya lebih peka di samping menghebahkan fungsi sebenar NSRC ini kepada orang lain bagi mengelakkan risiko menjadi mangsa jenayah penipuan.