20 NOV : Penduduk kawasan yang dijangka mengalami banjir dinasihati supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia susulan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai amaran hujan berterusan pada tahap bahaya, buruk melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Sabah.
“Amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikemas kini berkuat kuasa sehingga 21 November ini.
“Sementara itu di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang yang lebih menyeluruh juga berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata orang ramai boleh melayari laman web publicinfobanjir.water.gov.my atau @PubliclnfoBanjir (Facebook) dan @JPS_InfoBanjir (Twitter atau X) bagi mendapatkan maklumat dan amaran semasa mengenai banjir.
Manakala bagi maklumat cuaca yang terkini dan sahih daripada MetMalaysia pula boleh disemak menerusi aplikasi myCuaca.
Sementara itu beliau berkata Perak, Terengganu dan Pahang dilaporkan terkesan dengan bencana banjir yang melibatkan masing-masing satu daerah di ketiga-tiga negeri itu sehingga 12 tengahari tadi.
“Seramai 346 orang mangsa daripada 106 ketua isi rumah (KIR) direkodkan sedang berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.