21 NOV : Sembilan belas sekolah termasuk milik kerajaan dan swasta di Semenanjung Malaysia dikosongkan hari ini selepas menerima ancaman bom yang kemudiannya disahkan palsu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ancaman itu diterima daripada dua akaun e-mel sebelum polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat bertindak mengosongkan sekolah terbabit.
“Sebaik dimaklumkan mengenai penerimaan e-mel ancaman, tindakan mengosongkan premis yang terlibat segera diambil demi keselamatan pengungsian pelajar ke lokasi selamat turut dijalankan dengan segera sebelum pelajar diberarkan pulang.
“Tindakan pembersihan keselamatan bom dijalankan secara rapi di semua lokasi terlibat namun tiada sebarang ancaman yang dikesan.
“Dalam kes ini, siasatan mendapati e-mel ancaman adalah palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti didakwa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, tular satu mesej di media sosial daripada organisasi sekolah antarabangsa tentang ancaman bom itu.
Sekolah yang terjejas termasuk sekolah kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan, sekolah antarabangsa dan sekolah swasta.
Tujuh kes dilaporkan di Selangor, lima di Kuala Lumpur, tiga di Johor, dua di Pulau Pinang, satu di Perak dan satu di Negeri Sembilan.
Menurut Razaruddin, ancaman tersebut dihantar melalui dua akaun e-mel menggunakan nama ‘Taktstorer’ dari bahasa Jerman yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dari penyedia perkhidmatan e-mel Beeble.com.
“Siasatan menunjukkan kedua-dua alamat e-mel yang digunakan bagi menghantar ancaman, baru dicipta dan tidak pernah digunakan di mana-mana servis Internet.
“Kandungan asal e-mel ancaman adalah dalam bahasa Malaysia menggunakan aplikasi penterjemah. Kandungan e-mel yang sama dikesan turut pernah dihantar ke 70 buah sekolah di Jamaica pada 12 November 2023 juga melalui penyedia perkhidmatan e-mel yang sama.
“Siasatan turut menjurus sama ada insiden di Malaysia mempunyai kaitan dengan kejadian di Jamaica yang dipercayai didalangi seorang individu bermasalah yang mungkin pernah mengalami penderaan ketika zaman kanak-kanak dan kurang perhatian namun mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Kata Razaruddin, polis memandang serius sebarang bentuk ancaman bom dan akan mengambil tindakan segera bagi menyiasat sebarang bentuk ancaman tanpa gagal.
“PDRM yakin dan memberi kepastian bahawa tahap keselamatan pelajar serta guru-guru adalah terjamin di seluruh negara,” katanya.
Terdahulu, pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata dua sekolah di Pulau Pinang di Tanjung Tokong dan Jalan Sungai Pinang itu menerima e-mel kira- kira jam 11.20 pagi dan 12.27 tengah hari tadi.
E-mel yang diterima itu bertajuk ‘bahan letupan telah ditanam di sekolah’.