21 NOV : Kerajaan masih belum memutuskan untuk mewajibkan TikTokShop mendapatkan lesen e-dagang di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata perkara itu akan berbincang terlebih dahulu dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum keputusan dibuat.
“Setakat ini, KKD belum buat apa-apa keputusan terhadap TikTok Shop sama ada kita nak wajibkan mereka mendapat lesen.
“Ini adalah salah satu perkara yang kami akan berbincang dengan kementerian lain berkaitan seperti KPDN. Sekiranya ada apa-apa perkembangan, saya percaya kami akan buat pengumuman pada masa yang sesuai,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) tentang sama ada kerajaan sedang mempertimbang untuk mengikuti langkah kerajaan Indonesia yang mengharamkan TikTok Shop bagi melindungi perniagaan tempatan.
Mengulas lanjut, Nie Ching memaklumkan hasil mesyuarat bersama TikTok sebelum ini menunjukkan 96 peratus penjual TikTok Shop adalah dari Malaysia.
Sementara itu, beliau juga berkata kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) masih mengkaji keperluan melesenkan atau mendaftarkan Google, Meta dan TikTok.
Katanya, pelbagai aspek diteliti termasuk implikasi dari sudut dasar terhadap perkhidmatan, aspek pelaburan dan perdagangan, kaedah percukaian serta aspek keselamatan pengguna di Malaysia.
“Pada masa ini belum ada sebarang keputusan atau pendirian yang dibuat oleh kerajaan berhubung perkara ini, bagaimanapun usaha-usaha awal telah dilaksanakan melalui beberapa siri libat urus.
“Ini bertujuan untuk membincangkan dan mendapatkan input dan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh serta pihak berkepentingan di Malaysia berhubung perkara ini,” katanya.
Sebelumnya, Iskandar bertanya tentang mekanisme melesenkan penyedia platform besar tersebut yang menjana pendapatan menerusi kandungan daripada organisasi media tempatan.