21 NOV : Kerajaan meluluskan peruntukan awal RM80 juta untuk pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) yang dilaksanakan Mimos Berhad (Mimos) bagi membolehkan projek itu disegerakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mahu negara ketinggalan dalam pembangunan transformasi digital.
“Kita agak ketinggalan dalam beberapa bidang padahal kita ada keupayaan, ada kemahiran dan kepakaran, jadi ada keperluan segerakan peruntukan. Untuk mempercepatkan proses itu, kita segerakan dan melihat program pelaksanaan itu diawalkan.
“Saya mendapat jaminan ia dapat disegerakan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang dengan syarat kerajaan meluluskan peruntukan untuk membeli server scan. Jadi, saya dah minta Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri menyalurkan RM80 juta minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi ke Mimos Bhd di ibu negara, hari ini.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, beberapa kelulusan dan peruntukan lain akan turut disegerakan sebelum akhir bulan ini.
“Pendaftaran Digital ID (diperuntukkan) minggu depan. Menteri, ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah dan ketua jabatan harus memulakan pendaftaran.
“Kalau mahu diberi subsidi bersasar atau kemudahan lain, sama ada jabatan atau pihak swasta, ia mesti bermula dengan pendaftaran Digital ID. Peruntukan yang besar RM80 juta, ini permulaan sahaja, akan ada peruntukan lain,” katanya.
IDN merupakan program tambah nilai yang diperkenalkan kerajaan bertujuan mewujudkan satu platform pengesahan yang bakal memanfaatkan sektor awam dan swasta menerusi pengesahan identiti pengguna semasa transaksi digital.
Platform itu disasarkan kepada semua warga negara dan penduduk tetap di Malaysia berusia lima tahun ke atas.