21 NOV : Malaysia berjaya meraih pelaburan tambahan sebanyak RM60 bilion dari Amerika Syarikat (AS) meskipun lantang bersuara menyokong rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan itu diperoleh ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) di San Francisco, California baru-baru ini.
Beliau berkata tindakan Malaysia yang menyatakan sokongan terhadap Palestin bukanlah halangan untuk meraih pelaburan daripada mana-mana pihak malah Presiden AS, Joe Biden turut menghormati pendirian Malaysia mengenai konflik peperangan di Gaza.
“Walaupun kita agak tegas dan lantang menyuarakan di hadapan Presiden Biden mengenai kesengsaraan rakyat Palestin tapi kita masih dapat pelaburan tambahan dari AS sebanyak RM60 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di Mimos Berhad, hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berkata Malaysia perlu terus lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang berterusan ditindas rejim Zionis.
“Tidak ada soal lagi bila kita suarakan dengan lantang pembelaan nasib rakyat Palestin yang tertindas, bayi yang terbunuh, wanita jadi korban dan tiba-tiba ada pihak yang bertanya kenapa kita suarakan.
“Betul, banyak masjid musnah tapi gereja juga musnah. Ini bukan masalah orang Islam atau Kristian, ini masalah manusia.
“Kita sebagai rakyat Malaysia harus menyuarakan hal sedemikian,” katanya.