22 NOV : Sebanyak RM681.71 juta kehilangan atau kerugian wang awam dilaporkan membabitkan enam program kerajaan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata dapatan itu diperolehi daripada 14 kementerian melalui LKAN 2022 selain 16 pengauditan prestasi bernilai RM208.882 bilion.
Katanya, kerugian itu dikesan membabitkan pengurusan program penanaman padi, pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Ia turut membabitkan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin dan program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan dan pengurusan program bandar selamat.
“Perkara ini antaranya berkaitan pemberian pengecualian denda yang dikenakan ke atas kelewatan pembekalan dan penghantaran baja, penyaluran subsidi dan insentif pesawah tidak optimum.
“Ia juga membabitkan kegagalan mengutip hasil pajakan tanah dan perolehan secara penggantian pelupusan senjata api tidak dibekalkan sepenuhnya,” menurut laporan itu.
Wan Suraya berkata 13 program menerusi 16 pengauditan prestasi bernilai RM208.882 bilion , dilaksanakan melibatkan 14 kementerian dengan mewujudkan program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan; pengurusan program penanaman padi (RM6.820 bilion).
Pengurusan kawalan penyakit denggi membabitkan RM5.230 bilion; pengurusan program skim pembangunan kesejahteraan rakyat (RM2.215 bilion); pengurusan naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah (RM1.026 bilion) dan pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) (RM822.61 juta).
Pada masa sama, beliau berkata terdapat tiga kes pembaziran bernilai RM21.35 juta antaranya membabitkan Pengurusan Pekerja Asing melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).
Beliau berkata, jumlah pembaziran itu juga membabitkan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan.
“Kes yang dibangkitkan antaranya berkaitan sistem yang tidak digunakan secara optimum di mana 11 daripada 14 modul sistem ePPAx tidak digunakan dalam proses pengurusan pekerja asing.
“Projek pangkalan hadapan yang siap pada tahun 2020 tidak dapat digunakan dan peralatan kelengkapan latihan (ACMV Industrial) tidak digunakan sejak diterima pada tahun 2018,” katanya.
Wan Suraya berkata, terdapat juga dua kes pembayaran tidak teratur bernilai RM1.52 juta membabitkan pengurusan program podium sukan elit dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan.
Jelas beliau,ia berkait dengan perbelanjaan di luar skop kelulusan dan tajaan program dibuat kepada peserta yang tidak memenuhi syarat.
“Hasil daripada pengauditan yang dilaksanakan, Jabatan Audit Negara mengemukakan 55 syor untuk diambil tindakan oleh kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.
“Antara syor yang dikemukakan adalah kementerian, jabatan, agensi dimohon menjalankan kajian terperinci bagi setiap cadangan projek terlebih dahulu sebelum diluluskan,” katanya.