22 NOV : Banjir di Terengganu semakin memburuk dan jumlah mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan setakat 8 pagi ini.
Seramai 4,787 orang mangsa melibatkan enam daerah dipindahkan ke 32 buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan bagi menempatkan seramai 1,260 keluarga yang terjejas akibat bencana itu.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, atara daerah terlibat ialah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu, Marang, Besut dan Dungun.
Daerah Kuala Nerus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,695 orang dikuti Marang 1,251 orang dan Kuala Terengganu 1,137 orang.
Daerah Dungun dan Besut antara daerah baharu dilanda banjir bermula lewat petang semalam dan malam tadi dengan merekodkan seramai 696 mangsa di kedua-dua kawasan.
Sebanyak 14 PPS diaktifkan di daerah Kuala Nerus melibatkan Dewan Serbaguna Tok Jembal, Dewan Flat Batin Perdana, Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, Dewan Serbaguna Wakaf Catur, SK Bukit Nenas, SK Teluk Ketapang, Dewan Sivik Batu Rakit, SK Tok Jembal, SK Gong Badak, Surau Kg Mak Jintan, SK Padang Air, Dewan Taman Perumahan Wakaf Tengah, SK Seberang Takir dan SK Kompleks Gong Badak.
“Di Marang pula, jumlah mangsa ialah seramai 1,251 orang ditempatkan di tujuh PPS iaitu di SK Bukit Gasing, SK Rusila, SK Rawai, SMK Mercahang, SMK Seri Payung, SK Marang dan SMK Seberang Marang.
“Bagi Kuala Terengganu seramai 1,137 mangsa dari 332 keluarga ditempatkan lima buah PPS di SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang, SK Gong Tok Nasek dan SK Rengah Bekah,” kata sekretariat itu dalam satu kenyataan.
Sementara di Kelantan, mangsa banjir meningkat kepada 332 orang di enam PPS di daerah Pasir Puteh, Bachok dan Machang setakat jam 7.28 pagi tadi.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan 197 mangsa berlindung di PPS SK Dalam Rhu, 39 mangsa di SMK Beris Panchor dan 31 mangsa di SK Sungai Petai.
Manakala SK Jelawat serta SK Wakaf Raja masing-masing menempatkan 30 mangsa dan SK Pak Roman menempatkan lima mangsa.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat dan situasi semasa banjir melalui laman web JPS di pautan publicinfobanjir.water.gov.my, facebook @PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS_InfoBanjir.
Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).