22 NOV : Penganjur konsert Coldplay menjamin kumpulan dari Britain itu akan mematuhi garis panduan dan perkara-perkara yang ditetapkan Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam kenyataan hari ini berkata kumpulan itu juga akan mematuhi peraturan dan undang-undang berkuat kuasa di Malaysia.
“Berhubung dengan perkara yang diutarakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan penganjuran konsert tersebut, ia hanyalah pandangan dan bukannya fatwa.
“Sehubungan itu, konsert ‘Coldplay: Music of the Spheres World Tour’ akan diteruskan hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa PUSPAL juga meluluskan permohonan persembahan konsert berkenaan pada 13 Oktober lepas.
Selepas didesak pelbagai pihak, penganjuran Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini tetap diteruskan namun kali ini dengan disediakan suis pemati (kill switch).
Suis pemati berfungsi bagi menghentikan secara tiba-tiba sesuatu penganjuran konsert yang melanggar garis panduan ditetapkan.
Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Luqman Abdullah menggesa penganjur membatalkan konsert Coldplay bagi menghormati situasi semasa di Gaza, Palestin selain bimbang insiden tidak senonoh yang dilakukan kumpulan The 1975 pada Julai lalu mungkin berulang.
Katanya, konsert tersebut jelas bertentangan dengan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat di negara ini.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Muzik Malaysia, Ayob Abd Majid dilaporkan berkata banyak pihak yang rugi jika konsert itu dibatal dan meminta mana-mana pihak tidak mempolitik atau berburuk sangka dengan penganjuran konsert Coldplay itu.