23 Nov : Had umur belia di Malaysia diturunkan kepada 30 tahun berbanding 40 tahun kini, berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026.
Ia selaras penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602].
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata penetapan tarikh itu hasil perbincangan antara KBS dengan Majlis Belia Malaysia (MBM).
Selain had umur belia, pindaan akta itu turut melibatkan penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun sahaja.
“Oleh itu kerajaan telah bersetuju dengan tarikh kuat kuasa berkenaan, warta penetapan tarikh mula kuat kuasa telah pun disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara pada 20 November 2023.
“Susulan daripada pewartaan ini adalah penting bagi KBS melakukan pemakluman pada hari ini kerana semua pihak berkepentingan berkaitan belia perlu cakna akan penguatkuasaan pindaan tersebut, khususnya berkaitan dengan had umur belia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, hari ini.
Selajn itu, Hannah turut menekankan penurunan had umur berkenaan sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan takrifan umur belia di negara lain yang meletakkan had umur di bawah 30 tahun.
“Sebagai contoh Indonesia 16-30 tahun, Filipina 15-30 tahun, Thailand 15-24 tahun, Korea 9-24 tahun, Australia 12-24 tahun,” katanya.
Pada sidang media sama, Hannah mengumumkan keputusan jemaah menteri yang meluluskan peruntukan pentadbiran sebanyak RM5 juta setiap tahun bermula tahun ini kepada MBM dan badan gabungan tertakluk bagi mengukuhkan tadbir urus dan pengoperasian pertubuhan belia.
“Sokongan ini akan membantu MBM dan badan gabungan untuk lebih aktif dalam melaksanakan program-program belia,” katanya.