23 NOV : Kerajaan membelanjakan RM76.3 juta melalui Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) sebagai salah satu usaha membantu orang ramai melalui penambahbaikan insfrastruktur kecil awam.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata peruntukan itu diberikan selepas menerima permohonan projek melalui aplikasi IKR yang dibuka kepada semua sebelum disemak oleh agensi-agensi pelaksana yang dilantik.
“Daripada 1,500 projek yang diluluskan daripada saringan awal daripada tempoh lima bulan dilancarkan, sebanyak 502 projek IKR dipersetujui dilaksanakan oleh pelbagai agensi dengan kos projek sebanyak RM76.3 juta kerana ia perlu diterima untuk dipersetujui dilaksanakan oleh agensi-agensi ini.
“Sehingga kini, daripada RM76.3 juta ringgit yang diluluskan untuk 502 projek tersebut, sebanyak RM57.2 juta disalurkan bagi pelaksanaan bagi projek yang sedang berjalan di seluruh Malaysia .
“Pecahan yang paling tertinggi adalah di Sabah iaitu RM21.6 juta, kemudian Perak,RM7.2 juta; Pahang, RM6.5 juta; Sarawak, RM5.8 juta; Selangor, RM5.3 juta; Kedah, RM2.2 juta ; Negeri Sembilan, RM2 juta ; Johor, RM1.96 juta; Melaka, RM1.1 juta; Terengganu, RM1 juta; Kelantan, RM750,000; Perlis, RM670,000 dan Pulau Pinang, Rm400,000,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) meminta Menteri Ekonomi menyatakan berapa banyak wang yang dibelanjakan untuk Insentif Kemudahan Rakyat pada tahun 2023 dan pecahan perbelanjaan peringkat negeri.
IKR diumumkan sekitar Jun 2023 bertujuan bagi mempercepatkan perlaksanaan projek-projek kecil untuk kemudahan rakyat.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata sejak IKR dilancarkan, sebanyak 1,500 projek sudah diluluskan secara berprinsip di peringkat Kementerian Ekonomi sebelum kelulusan dan peruntukan tersebut diberikan kepada pelbagai agensi pelaksana.
“Antara pihak yang terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Pihak Pembangunan Koridor dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri bagi tujuan pelaksanaan projek tersebut.
“Caranya dengan membuka kepada semua pihak baik individu, wakil rakyat, jabatan-jabatan kerajaan untuk mengenalpasti projek-projek yang infrastruktur kecil di bawah RM200,000 ke bawha untuk dilaksanakan segera, dan ini membuka ruang kepada rakyat biasa untuk membaiki jalan kecil, jambatan dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata Kementerian Ekonomi juga masih melaksanakan tindakan susulan dengan agensi pelaksana yang dilantik bagi mendapatkan maklum balas mengenai baki pelaksanaan projek-projek yang diluluskan secara berprinsip. OLEH : AISYAH BADRUL