23 NOV : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan kebajikan guru agar kekal berkualiti dan bermotivasi dalam melaksanakan profession perguruan sepanjang perkhidmatan.
Timbalan Menteri KPM, Lim Hui Yin berkata kementerian itu juga akan memastikan golongan guru diberi sokongan profesional secara berterusan melalui Teras 5 yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi oleh guru.
“Pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan antaranya KPM memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di sekolah yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid.
“Selain itu, bermula sesi persekolahan baharu juga, waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid ditetapkan pada masa lebih fleksibel iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem,” katanya di Dewan Rakyat Hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta KPM menyatakan komitmen Kerajaan untuk mengurangkan beban guru bagi meningkatkan kualiti pendidikan dalam bilik darjah.
Selain itu, katanya KPM juga menyediakan latihan bagi meningkatkan psikologi guru dengan memberi kemahiran pengurusan emosi, kawalan diri dan amalan harian yang positif bedasarkan tahap psikologi yang dinilai melalui inventori kesihatan psikologi.
“KPM juga berusaha meminimumkan tugasan dan pentadbiran bukan profesional dengan mengoptimumkan kekosongan pengisian jawatan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) bedasarkan kuota pengurusan agensi pusat serta Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.
“KPM dengan usaha sama rakan stategik turut menyediakan peluang merehatkan minda melalui program Cuti-Cuti Cikgu serta memberi kebenaran dan kelonggaran pemakaian baju koporat rasmi KPM sewaktu bertugas sebagai usaha menaikkan semangat guru,” katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya turut menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM bagi memastikan ia kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.
Dalam pada itu, Huiyin berkata KPM bersama-sama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan bagi mengatasi isu kekosongan guru dalam mata pelajaran kritikal.
“Beberapa kaedah dan pendekatan strategik telah dipersetujui dan akan dilaksanakan termasuk peluasan kluster mata pelajaran bagi membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai guru.
“KPM turut mengadakan perbincangan berterusan dengan pihak berkepentingan termasuk Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Majlis Guru Besar (MGB) bagi mendapat maklum balas bagi menentukan perancangan KPM bagi mengatasi isu berbangkit,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL