23 NOV : Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak berlaku pada tahun hadapan sebaliknya dijangka bermula pada 2025.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana peruntukan untuk melaksanakannya tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 13 Oktober lalu.
“Kemungkinan PLKN dilaksanakan semula pada tahun 2024 memang tak ada kerana tidak dibajetkan dalam Belanjawan 2024.
“Kalau kita nak menggunakan kem wataniah seperti mana yang saya sebutkan sebelum ini, kita perlu menaiktaraf dahulu kem tersebut. Ada 13 Kem Wataniah seluruh negara.
“Jadi, perincian mekanisme pelaksanaannya, kementerian akan bersama-sama dengan semua pemegang taruh terutamanya NGO (badan bukan kerajaan) masyarakat dan yang lain sebelum kita memuktamadkannya dan mendapatkan kelulusan untuk menghidupkan PLKN mungkin pada tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Mohammad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata pelbagai pilihan dikaji termasuk cadangan supaya membabitkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Jelas beliau, program yang dimansuhkan pada 2018 itu diluluskan oleh Kabinet, untuk kementerian memulakan kajian bagi menghidupkan semula PLKN.
“Kita akan membawa dan menjemput mereka sebelum kita membawa semula kertas ke majlis Jemaah Menteri untuk diberikan kelulusan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, Mohamad berkata PLKN akan dilaksanakan menerusi dua fasa yang mana fasa 1 membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM), yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap.
Manakala, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalani latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan menyertai Fasa 2 di kem latihan Askar Wataniah sedia ada.
Namun, Kementerian Pertahanan kemudian dalam kenyataan berasingan memaklumkan hanya remaja yang lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani PLKN sekiranya program itu dilaksanakan semula.