23 NOV : Kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin serta bahasa Tamil di sekolah tersebut diputuskan berperlembagaan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini yang dipengerusikan Hakim Datuk Supang Lian sebulat suara memutuskan perkara itu bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan, lapor BH.
Mahkamah menolak rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selaku perayu iaitu Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).
MAPPIM, GAPENA dan ISMA merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala i-Guru merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang menolak saman pemula masing-masing pada 29 Disember 2021 dan 29 Mei 2022
Pada 29 Disember 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), MAPPIM, GAPENA dan ISMA.
Dalam keputusannya Mohd Nazlan memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.
Pada 29 Mei tahun lalu, Hakim Mohd Abazafree Mohd Abbas (kini Hakim Mahkamah Tinggi) turut memutuskan kewujudan sekolah vernakular adalah sah dan berperlembagaan ketika beliau menolak saman pemula I-Guru.
Pada Disember 2019, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), MAPPIM, GAPENA dan ISMA memfailkan saman pemula terhadap beberapa pihak termasuk Kerajaan Malaysia, kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia dan Persatuan Tamilar Thurunal (Perak).
I-Guru pula menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, memohon perisytiharan bahawa Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 (yang memperuntukkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu) Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah terbatal serta tidak mempunyai kesan.
Se7ksyen 28 menyatakan tertakluk kepada akta ini, menteri boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan hendaklah menyenggara sekolah itu.