23 NOV : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku 41 akaun bank Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762
Agensi penguatkuasa itu dalam satu kenyataan berkata, ia susulan siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai yang dijalankan sejak 17 Oktober lalu.
Katanya, hasil siasatan awal SPRM mengenalpasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.
Beberapa saksi penting juga sudah dirakam keterangan.
Selain itu, SPRM turut menggeledah premis Aman Palestin dan mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.
Siasatan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574).
Media sebelum ini melaporkan, siasatan SPRM terhadap dakwaan salah guna kuasa oleh NGO yang mengutip wang derma untuk rakyat Palestin tertumpu kepada penelitian dokumen membabitkan dana wang itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata siasatan tertumpu kepada penelitian dokumen sebelum memanggil individu yang terbabit untuk dirakam keterangan.
Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin dilaksanakan di premis agama Islam di negeri itu.
Beliau ragu terhadap pengumpulan dan pengagihan dana oleh badan itu.