23 NOV : UMNO menepis dakwaan PAS bahawa Malaysia akan menjadi negara sekular di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu tidak mungkin berlaku lebih-lebih lagi negara ini dipayungi Majlis Raja-Raja.
“Tidak mungkin negara ini menjadi negara sekular yang memisahkan pentadbiran negara dan negeri daripada agama Islam.
“Kalau ikut puak PAS tipu rakyat di bawah (kononnya) negara ini nak jadi negara sekular…kita masih ada Raja-Raja Melayu. Jadi tak mungkin negara ini jadi negara sekular,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Chabang, Kerteh, malam tadi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Tegasnya, dakwaan PAS itu satu penipuan semata-mata.
Malah katanya, dakwaan itu tidak mungkin direalisasi dengan kehadiran Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang pastinya akan menentang habis-habisan cubaan tersebut.
“Perjuangan UMNO meletakkan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan. Malaysia boleh menjadi negara sekular sekiranya dua pertiga ahli Parlimen setuju untuk meminda Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Takkan orang UMNO bengong begitu (untuk menyokong pindaan), takkan orang Islam dalam PKR bengong begitu? Takkan lapan Ahli Parlimen Parti Amanah Negara bengong begitu? Kita masih ada iman, kita masih ada Islam dalam diri kita,” katanya.