24 NOV : Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 25,000 tenaga kerja dalam bidang keselamatan siber menjelang 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memandang serius keperluan bagi meningkatkan keupayaan, kapasiti dan bilangan profesional serta tenaga kerja mahir dalam bidang itu.
“Ketika ini, dianggarkan terdapat hanya 13,000 pekerja di pasaran. Kerajaan memandang serius keperluan untuk keselamatan siber melengkapkan ekosistem keselamatan siber negara.
“Bagi menangani kekurangan 12,000 pekerja yang diperlukan, kerjasama antara pihak kerajaan, institusi pendidikan dan pemain industri amat kritikal,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan sempena perasmian program Pembangunan Kapasiti dan Dialog Awam Rang Undang-Undang Keselamatan Siber di Institut Antarabangsa Pemikiran Tamadun Islam dan Alam Melayu, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Nushirwan Zainal Abidin.
Mengulas mengenai program tersebut, Anwar berkata beliau menyambut baik inisiatif yang dilancarkan hari ini dengan kerjasama strategik antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), institusi pengajian tinggi dan pemain industri.
“Inisiatif ini antara usaha kerajaan untuk menambah baik dan menyegerakan kesediaan, keupayaan dan kecekapan keselamatan siber di Malaysia,” katanya.
Anwar berkata, Majlis Suruhanjaya Eropah mendukung usaha tersebut dengan menyalurkan sumbangan biasiswa bernilai RM5 juta oleh kepada NACSA bagi membantu mempertingkatkan keupayaan dan keberkesanan keselamatan siber negara.
“Saya dimaklumkan sebanyak 2,000 rakyat Malaysia akan memperoleh manfaat daripada biasiswa ini melalui kursus-kursus keselamatan siber bertaraf antarabangsa, serta penempatan pegawai dan penyelidik di NACSA,” katanya.