24 NOV : Kerajaan Perpaduan akan meneruskan usaha dengan lebih tegas dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta membangunkan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan ikrar tersebut sempena pemerintahannya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang memasuki tempoh setahun.
Anwar berkata penubuhan Kerajaan Perpaduan bertitik tolak daripada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja.
“Baginda dan Majlis Raja-Raja bertitah memohon sebuah kerajaan yang meliputi kesemua parti politik dibentuk bagi merungkai kebuntuan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Di sebalik tindakan pihak yang menolak titah Tuanku, kebuntutan itu terlerai selepas Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain sepakat mengenepikan permusuhan politik yang panjang demi menjunjung titah baginda.
“Meskipun dihantui pelbagai cubaan untuk meruntuhkan kesepaduan ini, semua parti terus tekal dengan kesepakatan ini. Alhamdulillah, hari ini kerajaan ini menerima sokongan lebih dua pertiga daripada Ahli-ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini
Mengimbau kembali sepanjang setahun menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, Anwar berkata beliau memberi tumpuan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan ketara yang diwarisi khususnya berkaitan pertumbuhan Malaysia yang tidak berkembang sejak lebih 20 tahun lalu seperti yang dilaporkan dalam Sustainable Economic Development Assessment (SEDA).
Jels beliau, Kerajaan Perpaduan menghalakan usaha menstruktur semula ekonomi negara menerusi peluncuran kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Namun, lebih ketara adalah kelemahan dan kelompongan tata kelola. Saya yakin dan percaya Malaysia punya potensi yang sangat besar untuk diangkat martabatnya jika isu tata kelola diperbetulkan dan rasuah dalam negara dihentikan.
“Saya mohon doa dan sokongan daripada rakyat dan rakan-rakan seperjuangan untuk merealisasikan hasrat kerajaan mengecap pencapaian yang jauh lebih baik, Insya-Allah,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim