24 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membelakangkan slogan reformasi sepanjang mentadbir negara ini gara-gara tidak menyalurkan peruntukan kepada pembangkang.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata Anwar meminta Perikatan Nasional (PN) berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kerana mahu mendapatkan pandangan mereka, selaras dengan proses yang sudah ditetapkan.
“Ia bukan sekadar memohon peruntukan kerana hasrat dan niat perdana menteri untuk libatkan pembangkang.
“Jadi tak timbul isu tentang membelakangkan, meremehkan atau menafikan hak mereka kerana perdana menteri dah nyatakan prosesnya,” kata Fahmi lapor FMT.
Tegas Menteri Komunikasi dan Digital itu, perkara tersebut sama seperti ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di mana kerajaan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) yang akhirnya mendapat peruntukan Parlimen masing-masing.
MoU itu mengandungi enam agenda iaitu pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
Fahmi berkata sebaik mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 November tahun lalu, Anwar menyuarakan hasrat supaya pembangkang bersama membantu kerajaan.
“Seawal 24 November, saya ingat kerana berada betul-betul di sebelah beliau di Sungai Long, beliau minta pembangkang bersama dengan kerajaan perpaduan untuk membantu kerajaan.
“Kita (juga) dengar beberapa kali perdana menteri sebut dalam dan luar Parlimen supaya pembangkang tampil berbincang bersama TPM 2 (Fadillah) supaya satu persetujuan dapat dicapai termasuk isu peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.
“Bila dah kita nyatakan proses kita ikut proses,” katanya.
Awal bulan ini, Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pembangkang tidak akan meneruskan perbincangan berkait peruntukan daripada kerajaan kerana dikehendaki menulis surat dan memberi jaminan tertentu.
Baru-baru ini, empat Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar dengan alasan demi kebajikan dan pembangunan di kawasan diwakili mereka.
Mereka adalah Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).