24 NOV : Kerajaan Perpaduan sentiasa memberi penumpuan terhadap isu ekonomi serta berusaha meningkatkan pendapatan rakyat sepanjang pentadbiran di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata isu berkenaan akan menjadi fokus kerajaan khususnya untuk membantu golongan yang paling memerlukan seperti yang berpendapatan rendah dan yang tinggal di kawasan kampung, pedalaman dan luar bandar.
“Jelas kalau kita lihat dapatan dari kaji selidik Merdeka Center, dan juga beberapa yang lain, fokus rakyat masih isu ekonomi dan ini akan menjadi fokus kerajaan khusus untuk membantu golongan yang paling memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan MADANI, malam tadi.
Mengulas mengenai Kementerian Komunikasi Digital, beliau berkata kementerian itu akan mengumumkan satu program mengenai ekonomi digital pada 29 November ini bersempena sidang Pusat Ekonomi Digital memandangkan ekonomi digital mampu menjadi satu kaedah untuk meningkatkan ekonomi serta pendapatan rakyat.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini semakin pulih ekoran tindakan perdana menteri yang tegas dalam beberapa perkara seperti membanteras rasuah dan mengukuhkan proses dan juga urus tadbir kerajaan.
“Jangkaan kita dalam tahun depan proses bagi merealisasikan pelaburan itu akan bermula dan tempias ekonomi dari segi positifnya akan dapat mula dinikmati rakyat sama ada secara terus melalui contohnya pembinaan atau pun nanti peluang pekerjaan,” katanya.
Selain itu, Fahmi berkata Anwar juga amat tegas bersuara mengenai isu-isu kemanusiaan termasuk isu di Gaza, Palestin di persada antarabangsa.
“Beliau tidak berasa takut langsung untuk menyampaikan pandangan dengan tegas dalam sebarang forum, malah secara terus kepada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden,” katanya.