Muhyuiddin umum tidak pertahan jawatan
24 NOV : Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan parti akan datang.
Ahli Parlimen Pagoh itu membuat pengumuman tersebut ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, pagi ini.
Kata Muhyiddin, keputusan tersebut bagi memberi ruang kepada barisan kepimpinan baru mengambil alih parti tersebut.
“Maka, pada hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baru telah pun tiba.
“Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan,” katanya.
Menurut Muhyiddin tarikh pemilihan tersebut akan ditentukan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak lama lagi.
Kata bekas perdana menteri itu, perhimpunan agung kali ini merupakan yang terakhir untuknya sebagai presiden.
“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti.
“Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya.