24 NOV : Tiada sebarang kecederaan berunsurkan jenayah dikesan dalam kes seorang lelaki tempatan yang meninggal dunia semasa dalam tahanan di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 22 November lalu.
Menurut kenyataan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad, hari ini, lelaki berusia 38 tahun itu mengadu sakit pada 7.42 malam sebelum polis menghubungi hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Penolong pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa hadir untuk membuat pemeriksaan dan OKT disahkan meninggal dunia.
“Bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam dan didapati tiada sebarang kecederaan berunsur jenayah dikesan,” katanya.
Beliau berkata, punca sebenar kematian OKT masih belum disahkan dan diklasifikasikan sebagai ‘pending investigation’ (siasatan tergendala) sementara menunggu keputusan makmal.
Selain itu, katanya ujian pengesanan Covid-19 juga dibuat terhadap lelaki berkenaan dan hasilnya adalah negatif.
“Lelaki berkenaan selesai sebutan kes pada 22 November lalu oleh Mahkamah Majistret Pengkalan Chepa dan dia dihukum penjara dua tahun bermula dari tarikh tangkap pada 5 Julai lalu atas kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” katanya.