Parlimen Malaysia mungkin jadi pertama di dunia guna tenaga solar
24 OKT : Bangunan Parlimen dijangka menggunakan tenaga solar dalam operasinya menjelang Jun tahun depan.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata Parlimen Malaysia berkemunginan menjadi Parlimen pertama di dunia yang menggunakan tenaga solar.
Katanya, ia sebagai usaha ke arah masa depan yang lebih mampan selain ke arah sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Kami mungkin Parlimen pertama di dunia yang menggunakan tenaga boleh baharu menjelang tahun depan jadi tiada lagi karbon. Sebaik sahaja anda melangkah masuk ke bangunan Parlimen, anda akan menghirup udara segar, oksigen yang bagus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Kewangan Lestari GoESG 2023.
Justeru beliau berharap usaha tersebut akan menjadi isyarat kepada jabatan dan agensi kerajaan yang lain untuk menyertai inisiatif menggunakan tenaga boleh baharu kerana lebih murah dan mesra alam.
Dalam pada itu, Johari percaya penggubal dasar berpegang teguh dalam komitmen mereka terhadap pembangunan mampan dan inisiatif pembiayaan hijau.
“Usaha ini penting dalam memastikan tiada masyarakat yang tertinggal ketika kita beralih ke masa depan yang lebih mampan.
“Walaupun kita melangkah dengan positif, perjalanan di hadapan memerlukan bukan sekadar komitmen, tetapi juga tindakan dan kerjasama yang merentas semua sektor,” katanya.