Berani bela Palestin kerana faham denyut nadi rakyat
25 NOV : Datuk Seri Anwar Ibrahim akui berani membela rakyat Palestin di hadapan pemimpin dunia kerana ‘terpaksa’ menyuarakan kebenaran.
Perdana Menteri berkata beliau memahami denyut nadi rakyat Malaysia yang mahu pemimpin menjadi suara mereka dalam isu Palestin.
“Orang tanya, di mana saya mendapat kekuatan dan keberanian bercakap dengan Biden (Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden), dalam pertemuan yang jarang berlaku.
“Pertama saya jawab, saya terpaksa memberitahu yang ‘haq’ (yang benar) mengenai kekejaman dan jenayah yang dilakukan Israel di Gaza.
“Kedua, saya faham kegelisahan dan denyut nadi rakyat Malaysia, rakyat mahu pemimpin mereka menyuarakan pendirian mereka (hentikan keganasan) ini yang saya dilakukan apabila berjumpa dengannya (Biden),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa@Putrajaya di Anjung Floria, Putrajaya, hari ini.
Anwar lantang membela rakyat Palestin di hadapan pemimpin dunia termasuk Biden dalam pertemuan yang berlangsung pada sidang akhir Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, baru-baru ini.
Klip video ucapannya di hadapan Biden itu mendapat pujian ramai dari seluruh pelusuk dunia.
Dalam ucapan sama, Anwar berkata keganasan rejim itu perlu ditamatkan bukan sekadar dengan gencatan senjata namun juga bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan masuk ke Gaza.
“Alhamdulillah, bantuan kemanusiaan dari Malaysia antara yang paling diberi keutamaan oleh Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sissi.
“Semasa saya berjumpa dengannya di Riyadh, beliau berjanji mempercepatkan bantuan dari Malaysia.
“Banyak negara mahu membantu tetapi Malaysia diberi keutamaan dan negara kita yang paling singkat menunggu untuk menyalurkan bantuan masuk ke Gaza,” katanya.
Israel-Palestin memasuki fasa gencatan senjata sejak semalam dengan syarat pertukaran tebusan dan tahanan.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim