25 NOV : Semua perwakilan PKR diingatkan supaya tidak bersikap bermewah-mewah setelah diangkat menjadi kerajaan.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata mereka semua perlu terus mengamalkan sikap bersederhana dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Benar, kita adalah kerajaan tetapi ia bukan alasan untuk kita bermegah.
“Saya sendiri menginsafi penuh tanggungjawab menjadi sebahagian anggota Kabinet Malaysia dan Ketua Wanita Keadilan khususnya. Ia benar-benar taklif (pembebanan) yang berat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Wanita PKR di Dewan Perdana di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina turut menyeru kepada kepimpinan hari ini untuk mengisi perjuangan dengan menangani segala faktor penyebab kemiskinan.
Jelas beliau, kesempatan memimpin negara ketika ini harus digunakan bagi mengubah nasib rakyat serta golongan miskin yang tertindas.
Sehubungan itu, katanya Kerajaan Perpaduan ketika ini juga komited dalam menoktahkan kemiskinan dan ia boleh dilihat melalui tumpuan kepada membaiki prasarana sekolah daif dan klinik daif.
“Selain pelaksanaan jualan rahmah, skim perubatan madani, peluasan akses pendidikan dalam konteks pendidikan manusiawi, mengurus kemiskinan multi dimensi.
“Bantuan awal persekolahan untuk semua pelajar, peluasan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pastinya yang sedaya upaya memenuhi tanggungjawab mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan,” katanya.