27 NOV : Kerajaan dicadang melaksanakan sistem pindahan tunai bagi menyalurkan subsidi kepada kumpulan yang layak untuk membeli minyak masak peket.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) berkata cadangan tersebut adalah solusi bagi mengelakkan berlakunya ketirisan selain subsidi tersebut dapat disasarkan kepada golongan yang layak khususnya B40.
Selain itu, katanya ia bukan sahaja dapat menjimatkan dana negara malah memudahkan proses penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Saya berpandangan sudah tiba masanya jika minyak masak ini kita boleh buat pindahan tunai, contohnya setiap rumah B40 pakai sekitar 5 kilogram (kg) jadi kita memang nak beri subsidi jumlah itu.
“Perbezaan dengan harga pasaran itu kita buat pindahan tunai jadi KPDN tak perlu buat penguatkuasaan, ambil duit jadi pasaran jual pasaran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika memberi soalan tambahan kepada Timbalan Menteri KPDDN mengenai jumlah minyak masak peket bersubsidi dikeluarkan oleh Kementerian pada setiap bulan dan berapa daripada jumlah ini diagihkan
kepada golongan isi rumah B40 dan peniaga mikro.
Johari yang juga Pengerusi Backbenchers berkata pendekatan kerajan sebelum ini dalam pemberian subsidi dilihat tidak dapat mengawal ketirisan minyak masak peket yang berlaku.
“Proses yang kita lakukan ini masih tidak dapat mengelakkan ketrisian, contohnya dahulu kita beri subsidi ini kerana harga minya sawit meningkat, jadi kita beri subsidi kepada golongan B40 kerana tidak mahu mereka membeli minyak masak dengan harga yang tinggi.
“Kemudian kita jumpa pula pemborong beli minyak paket kemudian dijual kepada syarikat-syarikat mikro dengan harga yang lebih tinggi. Dahulu dieksport, namun kita dapat mengatasi masalah ini.
“Jadi, adakah kerajaan ingin meneruskan cara yang sama?,” katanya.
Sementara itu, Fuziah Salleh turut bersetuju dengan cadangan Johari yang mampu mengelakkan ketirisan penjualan minyak masak peket.
Fuziah berkata mekanisme bagi subsidi bersasar termasuk untuk minyak masak peket akan dilaksanakan apabila pihak KPDN menerima data daripada Pangkalan Data Utama (PADU).
“Saya setuju apa Titiwangsa (Johari) cakap ada ketirisan dan pindahan tunai mungkin cara terbaik untuk atasinya,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL