27 NOV : Keputusan rayuan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta bagi sembilan kes rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak diketahui esok.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah dijadualkan bersidang pada jam 9 pagi.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 74 atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan, kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.