27 NOV : Malaysia mempunyai tanggungjawab besar dalam membantu Thailand menyelesaikan konflik di selatan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bertanggungjawab menjalinkan kerjasama dengan pihak bertanggungjawab dalam memberikan kebebasan kepada penduduk di wilayah itu.
“Kita juga ada sedikit masalah umpamanya, sedikit ketegangan di Selatan Siam.
“Yang itu walaupun dalam negara Thailand, kita bertangunggjawab untuk bekerjasama supaya dapat meredakan ketegangan itu dengan meminta jaminan keselesaan hidup dan kebebasan bagi rakyat selatan Siam untuk mengamalkan agama mereka, budaya dan juga bahasa tertakluk kepada peraturan dan undang-undang Thailand.
“Saya lihat ada kesediaan Perdana Menteri Thailand (Srettha Thavisin) bersungguh-sungguh memberikan penyelesaian dan kita hanya akan jadi fasilitator membantu yang diketuai oleh bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao dan tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Thailand menamakan Chatchai Bangchuad, Timbalan Setiausaha Agung Majis Keselamatan Thailand sebagai ketua perunding mewakili kerajaan dalam dialog damai di selatan Thailand.
Portal Bangkok Post melaporkan beliau bakal menggantikan Jeneral Wanlop Rugsanaoh yang mengakhiri mandatnya ekoran perubahan dalam kerajaan susulan pilihan raya umum pada Mei lalu.