27 NOV : Penganjuran konsert artis antarabangsa semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai PAS berlangsung setiap minggu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata demikian bagi membidas tindakan PN yang menuduh iman pemimpin parti kerajaan ‘senipis kulit bawang’ apabila meneruskan konsert Coldplay, Khamis lalu.
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri, turut mempersoalkan sama ada iman pemimpin PAS tidak tergugat ketika penganjuran konsert daripada artis antarabangsa itu berlangsung.
“Apabila berlangsungnya konsert Coldplay, riuh rendah habis tipis iman semua ini. Paling nipis iman adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita pun panik macama mana hendak jawab.
“Namun ketika PN mentadbir, konsert tiap-tiap minggu, 15 Oktober 2022, konsert Boys Like Girls. Seminggu lepas itu, konsert Billie Eilish, seminggu lepas itu, Justin Bieber tetapi batal, tarik balik.
“Konsert Blackpink, Super Junior senarainya banyak berlaku zaman PN jadi banyak penganjuran konsert dihadiri rakyat namun pemerintah PAS ketika itu iman masih tebal, tidak senipis bawang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.
Dalam pada itu, Saifuddin turut mengingatkan ahli akar umbi supaya tidak memaki hamun apabila menjawab tohmahan namun perlulah dibuat mengunakan hujah.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyegerakan urusan bagi membuat satu pindaan pada Perlembagaan Persekutuan mengenai soal kewarganegaraan.
Beliau berkata pada masa ini, proses itu sudah melepasi sesi perbincangan di peringkat jemaah menteri serta sudah dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
“Sekarang dalam fine tuning ayat dan juga bahasa yang akan digunakan dalam penggubalan rang undang-undang itu,”katanya.
Sebelum ini, KDN dilaporkan akan membuat keputusan muktamad sama ada pindaan peruntukan berkaitan kewarganegaraan itu akan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan atau ia hanya akan melibatkan akta serta peraturan sedia ada.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata satu lagi premis penempatan anak-anak pendatang tanpa izin akan dibuka di Papar, Sabah bulan depan sebagai prinsip ihsan kerajaan MADANI terhadap kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa ketika operasi Jabatan Imigresen.