28 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menyatakan keterbukaannya menerima kerjasama daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang meskipun menerima kritikan dan tohmahan dari pihak itu sejak menjawat jawatan itu, setahun lalu.
Anwar berkata beliau masih teguh memegang pendirian iaitu mahu mendengar segala pandangan dari mana-mana pihak secara terbuka.
“Saya buka ruang dari awal untuk diadakan perbincangan bukan sahaja dari segi program yang diselaraskan Timbalan Perdana Menteri kedua (Datuk Seri Fadillah Yusof) tetapi mendengar pandangan secara konstruktif. Ini kenyataan yang sangat penting dan saya alu-alukan kerjasama sekiranya diperlukan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab
soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengenai keterbukaan Perdana Menteri terhadap kerjasama dengan pembangkang.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan tidak akan sesekali menjadikan perbezaan politik untuk menindas pemimpin parti pembangkang.
Malah, katanya ia dibuktikan dengan membawa wakil pembangkang dalam lawatan kerja dengan kerajaan luar serta menyifatkan perkara itu tidak pernah dilakukan ketika pembangkang menjadi kerajaan.
“Saya marah (kepada pembangkang) pun saya ikut peraturan, saya pergi ke Kedah semalam untuk berunding berkaitan hal sempadan, Sadao dengan Bukit Kayu Hitam. Memang tidak diundang Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) dan Menteri Besar Perlis (Mohd Shukri Ramli). Namun, saya putuskan untuk undang.
“Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin tidak mengundang mereka untuk makan tengah hari di Sadao, saya yang beri nota kepada PM Thailand oleh kerana mereka ikut rombongan supaya ikut sama dalam jawatankuasa itu,” katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan tindakan pihak pembangkang yang mendakwa ditindas dan tidak diberikan sebarang faedah yang sama seperti ahli Parlimen blok kerajaan adalah tidak benar.
“Kalau cerita seolah tidak diberikan faedah, ditindas, saya nak jawab ini adalah tidak benar. Malah, projek seperti tebatan banjir kita beri keutamaan yang lebih kepada Kelantan berbanding tempat lain. Ini kerana Kelantan paling terkesan berikutan musibah banjir,” katanya.
“Setiap bulan pembangkang kata nak ambil alih kerajaan, tetapi tiap bulan juga ada sahaja ahli Parlimen pembangkang yang keluar. Maknanya igauan untuk rampas tebuk atap ini hentikanlah dulu.
“Saya tidak kata semua (ahli Parlimen pembangkang) harus sokong kerajaan, tetapi apa yang berlaku kita (kerajaan) dikatakan menentang Islam, kononnya kepemimpinan Melayu Islam sudah tidak ada, sedangkan masa mereka perintah, harta Melayu disakau banyak,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menasihati pihak pembangkang agar tidak perlu lagi berangan dengan membangkitkan kenyataan hendak merampas kerajaan. OLEH : AISYAH BADRUL