28 NOV : Gencatan senjata antara Israel dan Palestin dilanjutkan dua hari lagi ketika ia hampir tamat semalam.
Pengumuman itu dibuat Qatar, sebagai negara pengantara rundingan antara Israel dan Hamas.
Sepanjang empat hari pertama gencatan senjata dicapai, seramai 69 orang tahanan dan tebusan dibebaskan.
“Persetujuan dicapai untuk melanjutkan pemberhentian sementara perang selama dua hari lagi di Semenanjung Gaza,” umum jurucakap Kementerian Luar Qatar melalui X.
Ia juga disahkan pegawai Rumah Putih bahawa persetujuan sudah dicapai.
Tada pengumuman angka tebusan dan tahanan yang dibebaskan dalam dua hari tambahan ini.
Namun sebelum ini Ketua Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir, Diaa Rashwan berkata perjanjian yang dirundingkan itu melibatkan pembebasan 20 tebusan Israel dan 60 tahanan Palestin di penjara Israel.
Semalam, tentera Israel berkata, seramai 11 tebusan yang terbaharu dibebaskan mengikut syarat gencatan senjata asal yang sepatutnya berakhir semalam.
Sementara Qatar berkata tebusan yang baru dibebaskan semuanya memiliki dua kewarganegaraan termasuk tiga warganegara Perancis, dua warga Jerman dan enam warga Argentina.
Dengan pembebasan terbaru itu, Hamas sudah membebaskan sejumlah 69 orang tebusan sejak Jumaat termasuk warga Israel dan warga asing.
Mengikut syarat awal perjanjian gencatan senjata selama empat hari, Hamas sepatutnya membebaskan 50 wanita dan kanak-kanak Israel yang dijadikan tebusan di Gaza namun tiada jumlah ditetapkan mengenai jumlah warga asing.
Sebelum pembebasan terbaru, Israel berkata jumlah tebusan yang masih ditahan di Gaza sehingga semalam ialah 184 orang, termasuk 14 warga asing dan 80 warga Israel dengan dua kewarganegaraan.
Sementara lebih 7,000 rakyat Palestin dilaporkan di penjara Israel.
Pada Ahad, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh berkata situasi kesihatan berdepan malapetaka dahsyat apabila hanya tiga hospital masih beroperasi untuk memberi bantuan kepada kira-kira 900,000 orang.