28 NOV : Calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dilihat mampu membawa perubahan besar terhadap sokongan pengundi Cina menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.
Timbalan Ketua Wanita MCA Terengganu, Boon Kim Lain berkata perubahan tersebut dapat dirasai jenteranya sepanjang berkempen yang pada hari ini sudah memasuki hari kesebelas.
“Mereka sudah mulai sedar dan akan menyokong BN dengan calon yang mempunyai imej yang sangat baik. Saya rasa kami boleh lepasinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi Raja Mohamed Affandi berkempen di sekitar Bandar Chukai, hari ini.
Menurut Kim Lain, pengundi di Kemaman khususnya kaum Cina mengharapkan calon yang bakal dipilih melaksanakan tanggungjawab sebaiknya, serta memiliki inisiatif bagi mengusahakan pembangunan lebih lestari di kawasan tersebut.
Sementara itu,Raja Mohamed Affandi menyatakan keyakinan pengundi Cina akan memberikan sokongan kepadanya semasa hari pengundian nanti.
“Rata-rata pengundi Cina bersama dengan BN. Saya agak selesa dengan apa yang berlaku. Dengan dukungan kuat masyarakat Cina terhadap saya dan BN, kita boleh memberikan satu tentangan yang hebat pada pilihan raya nanti.
“Untuk membina sebuah negara bangsa, kita memerlukan semua kaum bersama-sama. Tanpa ada kesatuan di antara kita, akan tempanglah usaha untuk membina negara bangsa. Saya di sini di atas landasan dan pegangan itu,” katanya.
PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Raja Mohamed Affandi dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
Ia yang melibatkan 141,790 pengundi layak termasuk pengundi pos dan awal, perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).