28 NOV : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang unsur rasuah dalam tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun begitu, menurut sumber yang mengetahui siasatan agensi antirasuah mengenai perkara tersebut berkata siasatan masih dijalankan.
“Kita dah ambil keternagan keempat-empat (mereka) itu. Siasatan masih dijalankan untuk melengkapkan siasatan.
“Daripada apa yang saya dimaklumkan, mereka datang ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, minggu lalu.
“Siasatan dapati tiada unsur-unsur rasuah dalam hal ini (setakat ini),” kata sumber peringkat tinggi itu, lapor Malaysiakini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya sudah merakamkan kenyataan empat ahli Parlimen Perikatan Nasional itu.
Namun beliau enggan mengulas lanjut apabila diminta pengesahan rasmi berkait penemuan siasatan.
Baru-baru ini, empat ahli Parlimen Bersatu secara berasingan mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar tetapi menegaskan bahawa mereka masih setia kepada parti.
Empat Ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Terbaharu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal turut mengisytiharkan sokongan itu di Dewan Rakyat di hadapan Anwar.