29 NOV: Teknologi kecerdasan buatan (AI) dilihat mampu menjadi penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pakar dalam keselamatan siber di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata ketika ini Malaysia hanya mempunyai 15,000 tenaga pakar dalam keselamatan siber dan memerlukan kira-kira 27,000 tenaga pakar.
“Kita masih kekurangan 12,000 tenaga pakar lagi, saya percaya dengan usaha termasuk penubuhan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber oleh Blackberry pada suku pertama tahun depan dapat membantu meningkatkan jumlah pakar dalam keselamatan siber.
“Pada masa sama, ada beberapa kaedah termasuk aplikasi yang menggunakan AI. PNB Planet Siber ada menonjolkan syarikat yang menggunakan AI untuk membantu aspek ‘firewall‘.
“Namun, secara asasnya kita masih memerlukan tenaga pakar, contohnya organisasi perlu mewujudkan jawatan yang dikenali sebagai CISO (Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat) dan ini penting untuk mengendali dan menyelaras aspek keselamatan siber dalam organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program PNB Planet Cyber 2023 anjuran Permodalan Nasional Bhd (PNB) di ibu negara, pada Selasa.
Turut hadir, Pengerusi PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata kerajaan menyambut baik pelbagai inisiatif PNB yang sejajar dengan agenda nasional Malaysia berkaitan keselamatan siber.
Jelas beliau, ia termasuk Dasar Keselamatan Siber PNB yang menyediakan rangka kerja keseluruhan untuk keselamatan siber di PNB termasuk pengurusan risiko siber, tindak balas insiden dan latihan kesedaran.
“Dasar Keselamatan Maklumat PNB menyediakan panduan khusus mengenai perlindungan aset maklumat PNB termasuk data, sistem dan aplikasi serta Polisi Pengurusan Kesinambungan Perniagaan PNB yang memastikan PNB dapat terus beroperasi sekiranya berlaku insiden keselamatan siber.
“Inisiatif-inisiatif ini adalah langkah proaktif dan strategik serta meningkatkan keyakinan orang ramai terutama pelabur PNB mengenai langkah-langkah keselamatan siber bagi melindungi pelaburan dan data peribadi mereka,” katanya.