29 NOV : Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan lantang menggelar Benjamin Netanyahu sebagai ‘pembunuh kejam Gaza’ dan mendakwa Perdana Menteri Israel itu menyemarakkan anti-semitisme di seluruh dunia.
Beliau juga melabel Israel sebagai ‘negara pengganas’, selain menggelar Hamas ‘kumpulan pembebasan’.
Erdogan membuat penegasan di hadapan ahli parti pemerintahnya di Parlimen.
“Netanyahu memahat namanya sebagai pembunuh kejam di Gaza selain membahayakan keselamatan Yahudi di seluruh dunia dengan menyokong anti-semitisme melalui pembunuhan dilakukannya di Gaza,” katanya.
Malah beliaut turut mengancam untuk memutuskan hubungan Turkiye-Israel yang sedang berkembang.
Tahun lalu mereka melantik duta selepas terputus hubungan selama sedekad.
Malah keduanya juga membincangkan usaha membangun hubungan perdagangan lebih erat dan mengusahakan projek tenaga baharu yang boleh membantu membina kepercayaan jangka panjang.
Susulan perang Israel-Palestin, Tel Aviv memanggil balik semua kakitangan diplomatik dari Turkiye dan negara serantau lain sebagai langkah keselamatan.
Turkiye juga menarik balik utusan Tel Aviv sebagai protes terhadap pendekatan Israel.
Negara pengantara, Qatar hari ini, cuba melanjutkan gencatan senjata Israel-Palestin bagi membolehkan lebih ramai tebusan dan tahanan di penjara Israel dibebaskan.
Mengulas soal itu, Erdogan berkata, kerajaan rejim itu sengaja merumitkan usaha mencapai gencatan senjata itu dengan terus membincangkan rancangan menghapuskan Hamas.
“Kenyataan pentadbiran Netanyahu mengurangkan harapan untuk pemberhentian sementara kemanusiaan, diubah menjadi gencatan senjata yang berkekalan,” katanya.