29 NOV : Nasib pelakon veteran Maimunah Ahmad atau Mak Jah yang berdepan masalah kesihatan hingga tidak dapat bekerja mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hari ini, beliau menyampaikan sumbangan kepada Mak Jah, 74 yang diserahkan Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun memaklumkan perkara itu melalui catatan di Facebook rasminya.
“Pagi tadi, Setiausaha Politik saya, saudara Ahmad Farhan Fauzi telah menziarahi pelakon veteran, Maimunah Ahmad atau Mak Jah di Cheras, Kuala Lumpur.
“Mak Jah kini menghidap penyakit kencing manis dan masalah urat saraf yang menyukarkan beliau untuk terus berkarya dalam dunia pemfileman.
“Saudara Farhan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak saya kepada bagi membantu urusan perubatan Mak Jah,” kongsinya.
Menteri Kewangan itu turut mendoakan pelakon itu agar diberikan kekuatan oleh ALLAH SWT.
“Saya mendoakan Mak Jah dikurniakan afiyah dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT,” katanya.
Terdahulu, Mak Jah, 74 dilaporkan berkata sudah tidak mampu menerima tawaran lakonan gara-gara masalah kesihatan yang tidak mengizinkan.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim