28 NOV : Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mendapatkan kembali pasportnya secara kekal.
Mahkamah pagi ini menolak untuk menyerahkan pasport Muhyiddin secara kekal seperti dipohon Presiden Bersatu itu.
Muhyiddin memohon pasportnya dikembalikan secara kekal bagi tujuan percutian keluarga di London dan pemeriksaan kesihatan di Singapura pada akhir tahun ini.
Namun, Hakim Azura Alwi berkata Ahli Parlimen Pagoh itu masih berhak memfailkan pemulangan sementara pasportnya bagi tujuan itu, tertakluk kepada kelulusan mahkamah.
Beliau kemudiannya membenarkan pelepasan sementara pasport Muhyiddinmulai hari ini hingga 15 Januari tahun depan selepas hujahan lisan ringkas oleh peguam Muhyiddin, K Kumaraendran dan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan terus menyimpan pasport Muhyiddin yang berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram dalam program Jana Wibawa.
Pada 2 Oktober lalu, Muhyiddin memohon supaya dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga lagi tuduhan jenayah yang dihadapinya iaitu menerima wang hasil aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM200 juta.
Pengerusi Perikatan Nasional itu membuat permohonan berkenaan dengan alasan beliau sudah dilepas dan dibebaskan untuk kesalahan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh Mahkamah Tinggi.
Katanya, Mahkamah Tinggi memutuskan pertuduhan di Mahkamah Sesyen adalah tidak berasas kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pagoh itu selepas membenarkan permohonan beliau untuk membatalkan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu.