29 NOV : Petroliam Nasional Bhd (Petronas) terus mampu memberi pulangan yang tinggi kepada pendapatan negara sehingga kini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kerana mempertahankan integriti yang sangat tinggi sejak dahulu lagi.
Katanya, tanpa mengamalkan pengurusan dan tatakelola yang baik serta cemerlang, tidak mungkin Petronas mampu terus menyumbang kepada negara.
“Dalam keadaan negara terumbang-ambing, kucar-kacir dengan prestasi pengurusan dan tatakelola yang lemah serta sistem tergugat dengan amalam rasuah, pelbagai skandal yang kadang-kadang menjejaskan imej negara… saya bangga Petronas dapat mempertahan integriti yang sangat tinggi.
“Pengajaran yang kita peroleh daripada pengalaman Petronas ialah negara kita ini mampu diangkat sebagai negara hebat dengan syarat adanya pemimpin politik, pengurusan seperti Petronas, penjawat awam dan dasar yang jelas serta pengurusan yang cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Warga Petronas di Kompleks Petronas Pantai Timur di Kerteh, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden Eksekutif Petronas (Hiliran), Datuk Sazali Hamzah dan kira-kira 600 kakitangan Petronas Pantai Timur.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata prestasi cemerlang itu juga menarik pelabur dari pelbagai negara termasuk China, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu untuk melabur serta bekerjasama dengan Petronas.
Katanya syarikat minyak gergasi Saudi, Aramco dijangka mengadakan mesyuarat lembaganya di Malaysia pada tahun depan.
Malah kata Anwar, dek keyakinan yang tinggi terhadap Petronas juga, Saudi Aramco berminat menjadikan Malaysia sebagai hab perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di Asia Tenggara.
“Saya ada berjumpa dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman…beliau beritahu saya bahawa beliau mahu menjadikan pelaburan Aramco di Pengerang bersama Petronas dan Malaysia sebagai hab penting bagi pelaburan Arab Saudi di Malaysia dan untuk rantau ini,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim